BLOG INI MEMBINCANGKAN MENGENAI KEEFISYENAN SESEBUAH MAJLIS PERBANDARAN. MAJLIS PERBANDARAN YANG MENJADI FOKUS KAJIAN SAYA IALAH MAJLIS PERBANDARAN SEPANG (MPSEPANG). SEGALA MAKLUMAT DAN KOMEN MENGENAI TAJUK KAJAIN AMAT DIALU-ALUKAN....

Friday, August 29, 2008

FUNGSI DAN TUJUAN PENUBUHAN, DAN AKTIVITI UTAMA MPSepang

Antara fungsi dan tujuan penubuhan MPSepang ialah...

  • Memperkukuhkan dan memperkemaskan fungsi dan tugas Ahli Majlis sebagai agen yang menghubungkan di antara Majlis dan penduduk.
  • Menjadi agen perantaraan penyalur maklumat dan peraturan Majlis kepada penduduk.
  • Menggalakkan penyertaan penduduk dalam semua aktiviti yang dianjurkan oleh Majlis.
  • Memantau aktiviti yang dijalankan oleh pelbagai persatuan penduduk di setiap zon.
  • Melaksanakan aktiviti LOCAL AGENDA 21 ke arah pembangunan MAMPAN di dalam Majlis Perbandaran Sepang.

Antara aktiviti utama MPSepang ialah...

  • Merancang dan mengawal pembangunan secara tersusun, sejahtera dan seimbang.
  • Menyediakan kemudahan prasarana yang lengkap dan terkini bagi menggalakkan pertumbuhan sosio-ekonomi bagi Warga Perbandaran.
  • Menyediakan perkhidmatan kawalselia kebersihan dan kesihatan serta kawalan penyakit berjangkit dengan berkesan dan menyeluruh.
  • Menyediakan landskap yang indah dan menarik.
  • Melaksanakan pencukaian dan pengurusan harta sebagai sumber utama hasil.
  • Melesenkan dan mengawal aktiviti perniagaan, iklan dan penjaja.
  • Menguatkuasakan undang-undang dengan tegas, adil dan saksama.

MPSepang

Majlis Perbandaran Sepang merupakan sebuah Pihak Berkuasa Tempatan yang semakin penting dan mempunyai tanggungjawab yang berat dan mencabar. Ini adalah kerana dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Sepang terletaknya Kuala Lumpur International Airport (KLIA) yang merupakan lapangan terbang terbesar dan tercanggih di Asia. Selain daripada itu, Bandar Bistari yang dikenali sebagai Bandar Cyberjaya, Airport City, Cybervillage, Bio Valley dan Hi Tech Park juga terletak di dalam kawasan Multimedia Super Corridor (MSC) yang merupakan projek nasional Negara. Litar Formula 1 Sepang adalah litar unggul, terkemuka dan bertaraf antarabangsa yang juga terletak di Perbandaran Sepang di samping berhampiran dengan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.
Selain daripada itu, usaha untuk menjadikan Daerah Sepang sebagai sebuah destinasi pelancongan terkemuka, pusat kecemerlangan pendidikan, peneraju Teknologi Maklumat terus akan dijadikan agenda utama pembangunan. Pemilihan Daerah Sepang dalam Lembah Klang Ke Dua sudah pasti menjanjikan mara kehadapan yang penuh gemilang kepada masyarakat setempat. Pihak Majlis berjanji dan akan berusaha untuk memberi perkhidmatan dan menyediakan kemudahan serta infrastruktur yang terbaik untuk kegunaan orang ramai seiring dengan Negeri Selangor Maju.

Majlis Perbandaran Sepang


Latar Belakang MPSepang

MAJLIS PERBANDARAN SEPANG (MPSepang) merupakan sebuah Pihak Berkuasa Tempatan yang diberi kuasa di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) untuk memberikan perkhidmatan perbandaran kepada warga Sepang. Sebagai Pihak Berkuasa Tempatan, MAJLIS PERBANDARAN SEPANG bertanggungjawab terhadap Perancangan, Pembangunan dan Khidmat Masyarakat.
Pada mulanya ia dikenali sebagai Lembaga Bandaran Sepang dan kemudian dikenali dengan nama Majllis Daerah Sepang. Kelulusan Pihak Berkuasa Negeri Selangor melalui mesyuarat MMKN 30/2002 bertarikh 13hb November 2002 telah menaiktaraf MDS kepada MPSepang. Perakuan Suruhanjaya Pilihanraya melalui surat Bil.SPR(S)172/Jilid5/(30) bertarikh 7hb Mei 2003 turut dirujuk bagi kenaikan taraf ini.Akhirnya, Perakuan Jawatankuasa Pembangunan Cyberjaya dalam mesyuaratnya Bil.3/2002 yang dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara mengesahkan tentang kenaikan taraf MPSepang dan tanggal 3hb Mac 2005 MDS dinaiktaraf kepada MPSepang dan seluruh kawasan Daerah Sepang adalah meliputi kawasan MPSepang iaitu seluas 59,966 kilometer persegi.

Thursday, August 7, 2008

PENGARUH TEKNOLOGI MAKLUMAT

Pengangkutan
Pengangkutan Jalan

Bayangkan anda sedang duduk di dalam kenderaan yang berhalaju 120 batu sejam di atas lebuhraya yang padat. Anda menghadapi masalah jerebu namun pengendali kenderaan di lorong sebelah telah tertidur sedangkan anda sedang menonton televisyen. Pelik? Terkejut? Sebenarnya anda agak selamat, anda sedang memandu kenderaan bistari dalam Lebuh-Raya Bersistem Automasi(LBA) masa depan yang berupaya mengurangkan 1.2 juta pelanggaran setiap tahun, menyelamatkan beribu-ribu nyawa, serta menjimatkan berjuta-juta ringgit akibat kemalangan.
Namun isu timbul merujuk kepada penerimaan masyarakat terhadap sistem sebegini. Sediakah mereka melepaskan pemanduan kenderaan secara bebas dan serahkan tugas tersebut kepada komputer. Seperti yang diketahui umum, komputer kadangkala gagal, kegagalannya dalam sistem ini akan mencetuskan kemalangan yang boleh dimasukkan dalam rekod antarabangsa.
Walaubagaimanapun, bukan senang untuk mewujudkan lebuh-raya bersistem automasi tersebut, Amerika Syarikat telah memulakan penyelidikan dan pembangunan sejak 1991 dan ia masih dalam proses. Untuk menyokong lebuh-raya tersebut, pelbagai teknologi diperlukan untuk memandu kenderaan dan mengawal sistem lalulintas; Sistem Pengangkutan Pintar, sesetengah teknologi ini telah dipasarkan dewasa ini.
Selain itu, Kenderaan Pintar diperlukan untuk membantu pengendali dalam pengendalian kenderaan, persekitaran dan memberi amaran terhadap masalah kesesakan. Salah satu elemen kenderaan pintar adalah Anti Lock Braking System(ABS) yang menghalang tayar kenderaan mengunci dirinya dalam keadaan perhentian panik.
Di samping itu, salah satu elemen penting untuk mewujudkan LBA adalah Sistem Kedudukan Global. Dengan wujudnya sistem ini, peta tidak lagi diperlukan, sistem ini akan menentukan jalan yang paling pendek serta cepat dan memandu kenderaan anda ke destinasi yang telah ditentukan anda. Dewasa ini, Sistem Pemanduan Kenderaan telah mula dipasarkan di Amerika Syarikat.
Untuk melengkapkan lagi LBA, Sistem Pengurusan Kesesakan diperlukan untuk mengenalpasti kesesakan. Antara tahun 1985 dan 1994, bandar Lexington, Kentucky telah menggunakan sistem lalulintas berkomputer untuk mengurangkan lalulintas henti-jalan sebanyak 40% serta mengurangkan pelanggaran sebanyak 30%(Meyer, 1999).
Namun LBA dikritik akan memburukkan lagi masalah kesesakan dalam jangka panjang. LBA direkabentuk untuk mengurangkan kesesakan dengan cara mengerakkan kenderaan secara lebih padat. Dengan itu, ia seakan-akan menambahkan lorong dalam lebuh-raya. Namun penambahan ini hanya boleh menyelesaikan masalah kesesakan dalam jangka pendek. Secara logiknya, apabila lorong menjadi banyak, ia akan menggalakkan lebih banyak penggunaan kenderaan. Sekiranya LBA membawa kepada pengembagan keupayaan menampung kenderaan yang tinggi maka kita akan kembali kepada masalah asal kesesakan.

Pengangkutan Udara
Sekiranya lalulintas udara terus meningkat pada kadar dewasa ini, pada tahun 2010, ia akan sampai kebarangkalian satu kemalangan utama setiap minggu. Dalam kes ini, teknologi maklumat terutamanya komputer memainkan peranan yang penting untuk memastikan keselamatan yang lebih, berkait dengan rekabentuk, juruterbang, sistem pemanduan dan lalulintas udara(Meyer, 1999)

Pengangkutan Laut
Dengan wujudnya Emergency Position Indicating Radio Beacons(EPIRB), pelayar-pelayar dengan mudah boleh menghantar isyarat kecemasan sekiranya timbul sebarang masalah. Kedudukan pelayar tersebut akan ditentukan melalui Sistem Kedudukan Global dan bantuan akan dihantar secepat mungkin. Namun masalah komputer seperti Y2K boleh memberi pengaruh negatif terhadap sistem tersebut. Kecacatan ataupun dilemma komputer tersebut boleh mencacatkan sistem kedudukan global dan menyebabkan kapal-kapal menghadapi masalah penentuan lokasi(Star, 21-8-1999).

Pendidikan
Penggunaan Komputer Dalam Pengajaran
Komputer boleh direkabentuk supaya ia dapat membantu pelajar secara individu dan secara berkumpulan. Ini dapat dijalankan dengan menggunakan Arahan Program, pelajar akan diajar mengikut kadar dan tahap yang boleh diterima oleh mereka. Ini adalah penting supaya pelajar tidak tercicir dan putus asa. Merujuk kepada sistem pendidikan konvensional, kesemua pelajar terpaksa mengikuti sistem yang berlangsung tanpa mengambil kira samada mereka dapat mengikuti pelajaran tersebut. Justeru itu, arahan program dapat memberi peluang terutamanya kepada golongan pelajar "lemah" untuk membaiki kelemahan dia.
Dalam arahan program ini, pelajar akan mengikuti langkah-langkah tertentu dalam pembelajaran dia, langkah tersebut akan diteruskan asalkan pelajar dapat memberi jawapan yang sesuai dan boleh diterima. Namun sekiranya jawapan tersebut tidak memuaskan, dia akan dipandu kepada langkah terdahulu dan ditunjukkan bahan rujukan yang berkaitan bagi memperbaiki kelemahan tersebut. Pengajaran sedemikian biasanya tidak dijalankan di dalam kelas yang terdiri daripada ramai pelajar, tambahan pula pelajar Asia yang kurang bertanya akan memburukkan lagi proses pembelajaran pelajar.
Selain itu, pendidikan jarak jauh dibolehkan dengan wujudnya rangkaian pendidikan yang lengkap. Tren semasa semakin menampakkan masa depan pengajaran dengan cara jarak jauh tetapi ini tidak bermakna pendidikan konvensional perlu dihapuskan sama sekali. Sesetengah daripadanya perlu dikekalkan bagi membolehkan pelajar membelajari kemahiran tertentu yang tidak boleh diperolehi melalui teknologi maklumat. Contohnya cara persembahan menggunakan komputer amat berbeza dengan cara konvensional. Namun kita tidak harus bergantung sepenuhnya kepada komputer dan melahirkan golongan yang tidak mampu berinteraksi tanpa komputer.
Justeru itu, sistem pendidikan perlu membekalkan kemahiran interaksi asas pada awal persekolahan dan menggunakan teknologi maklumat pada masa yang sama. Dengan itu, pelajar mempunyai kemahiran lebihan dan pilihan untuk menggunakan teknologi maklumat atau cara konvensional sesuai dengan keadaan tertentu.

Reformasi Sistem Persekolahan
Cara pengajaran konvensional di Amerika Syarikat misalnya memberi kuliah didapati tidak mendatangkan keputusan yang baik. Ini adalah kerana pelajar hanya duduk dan mendengar kuliah tersebut tanpa penyertaan yang menggalakkan. Ini merupakan senario yang kerap di dalam USM sendiri terutamanya dalam kuliah sarjana muda. Walaupun terdapatnya usaha pensyarah untuk menggalakkan penyertaan pelajar namun penyertaan yang diharapkan adalah amat kurang.
Namun dengan wujudnya rangkaian maklumat yang membolehkan pelajar memberi pandangan dan maklum balas secara rawak dan dengan cepat maka penyertaan tersebut akan mempunyai kadar yang lebih tinggi. Alasan seperti tidak dapat berjumpa dengan pensyarah akan dihapuskan sama sekali memandangkan faktor masa dalam rangkaian maklumat tidak sama dengan masa sebenar. Menurut teori pergerakan ruang, ruang aliran akan menentukan masyarakat rangkaian maklumat. Segala maklumat yang disalurkan merupakan penyebab yang secara kumulatif menjanakan ruang tersebut. Aktiviti menghantar dan menerima maklumat tersebut merupakan tindakan sosial yang dibawa dalam ruang aliran. Asalkan seseorang peka terhadap rangkaian tersebut, segala maklumat dan maklum balas akan dapat disampaikan mahupun diterima.

Perubatan
Membantu Golongan Yang Memerlukan Bantuan Khas
10 daripada 100 orang adalah cacat. Di Amerika Syarikat, 20 juta orang cacat mengalami halangan dalam kehidupan harian mereka(Meyer, 1999). Bagi golongan ini, teknologi maklumat terutamanya komputer memainkan peranan yang penting dalam memberi kebebasan kepada mereka. Contohnya kewujudan program yang berupaya membaca teks dapat membantu orang buta berkomunikasi tanpa bantuan keluarga, rakan-rakan dan pekerja lain atau mesin rekod suara.
Selain itu, komputer juga memberi peluang sosial baru kepada orang cacat melalui penggunaan internet, irc serta icq dan lain-lain program. Mereka tidak perlu pergi ke kawasan bandar untuk bertemu atau berkenalan. Mereka juga tidak perlu melalui pengalaman pahit di dalam bandar yang tidak direka untuk mereka. Di samping itu, terdapat rangkaian yang dikhaskan untuk mereka berkenalan dan bergaul dengan golongan yang sama di mana sebelum ini tiada seluran yang begini mudah. Mesyuarat boleh dijalankan bila-bila masa asalkan seseorang mempunyai talian telefon, komputer serta modem.
Tele-Perubatan
Dalam keadaan tertentu, pesakit sebenarnya tidak perlu berjumpa dengan doktor. Ini adalah kerana dalam kebanyakan kes, doktor cuma memeriksa pesakit melalui sintom yang diberitahu oleh pesakit sendiri. Justeru itu, suatu program yang menyeluruh dan sentiasa diperbaiki adalah memadai untuk menggantikan tugas sedemikian. Britain telah menggunakan sistem sedemikian untuk mengurangkan beban doktor(Laver, 1989). Doktor seharusnya menumpukan perhatian dalam kes yang serius yang mana pesakit tidak dapat memeriksa sebarang sintom.
Namun kesahihan sistem sedemikian akan sentiasa dipertikaikan akibat faktor-faktor keselamatan, kepercayaan, psikologi dan sebagainya. Selain itu, kos pelaksanaan sistem sedemikian juga amat tinggi kerana ia perlu sentiasa dinaik taraf dan dinilai bagi memberikan tahap ketepatan dan kepercayaan yang tinggi. Di samping itu, pelaksanaan sistem sedemikian akan menggugat kesenangan golongan buta huruf untuk mendapatkan rawatan biasa memandangkan sistem tersebut cenderung mengurangkan atau menggantikan peranan klinik. Justeru itu, timbul pendapat bahawa ia hanya sesuai untuk tujuan farmasi sahaja di mana pesakit telah diberikan diskripsi ubat; dan menggunakan tele-perubatan cuma untuk mendapatkan ubat tersebut.
Walau bagaimanapun, penggunaan Smart Card akan melengkapkan lagi sistem tersebut memandangkan kesemua maklumat peribadi pesakit termasuk sejarah perubatan telah dikodkan. Namun kita tidak harus melihat bidang perubatan ditukarkan kepada sejenis industri. Perubatan sebagai perindustrian akan mencetuskan kesan mental yang buruk terhadap pesakit. Pesakit sebenarnya telah dibebankan dengan persekitaran hospital yang dipenuhi dengan pesakit-pesakit lain. Justeru itu, penggunaan teknologi yang keterlaluan akan menyebabkan hubungan doktor-pesakit hilang, ini akan menjanakan keadaan yang tidak menggalakkan dalam kes kesihatan yang serius.

Seni dan Hiburan
Digital
Dewasa ini, semakin banyak bahan-bahan ditukarkan kepada bit-bit dalam komputer. Penukaran ini akan mencetuskan perubahan yang besar dalam penggunaan ruang di bandar. Misalnya penduduk bandar tidak perlu berada di sesuatu lokasi tetapi dapat merasai situasi tersebut melalui internet. Kes yang sama berlaku terhadap perpustakaan, apabila lebih banyak teks ditukarkan dalam bentuk bit. Pelajar atau penduduk tidak perlu sampai ke perpustakaan untuk mendapatkan bahan rujukan tersebut.
Penduduk bandar juga tidak semestinya pergi ke panggung wayang atau muzium untuk melihat filem atau khazanah negara. Kesemua ini memberi impak terhadap perancangan guna tanah kawasan bandar. Kesan langsung daripadanya adalah pengurangan dalam isipadu lalulintas yang disebabkan oleh aktiviti tersebut. Ini akan mengagihkan tanah bagi tujuan yang lain misalnya kawasan hijau atau taman-taman yang tidak dapat digantikan oleh teknologi maklumat.
Namun harus diingati bahawa dengan menukarkan bahan-bahan kepada bit-bit. Masalah cetak rompak akan lagi berleluasa. Bahan-bahan yang didigitkan kemungkinan besar akan menjadi tidak berharga. Ini adalah kerana ia boleh disalin dan dikeluarkan semula berkali-kali, berbeza dengan bahan-bahan sebenar yang akan berkurangan kuantitinya apabila digunakan.

Dunia Maya
Ia adalah satu sistem yang mensimulasikan alam nyata(reality). Alam nyata ditayangkan dalam bentuk imej, dalam dunia yang kelihatan seperti dunia nyata. Pengalaman dalam dunia maya bukan hanya menerusi skrin imej tetapi ia sendiri menjadi pengalaman kepada mereka yang berada di dalamnya(Castells, 1999). Kewujudan dunia maya akan membawa perubahan tertentu dalam cara hidup di bandar. Memandangkan ia begitu benar dan kadangkala dapat memuatkan ciri-ciri idealisme yang tidak terdapat dalam dunit nyata. ia merupakan satu ruang yang membolehkan penduduk membuat pilihan samada hendak memilih dunia maya atau dunia nyata untuk menjalankan aktiviti tertentu.
Contohnya seseorang yang ingin keluar bersiar-siar di bandar boleh memilih bandar nyata atau bandar maya. Bagi mereka yang ingin melihat bandar sebagai utopia maka dunia maya mampu memberi satu bandar sedemikian. Namun penggunaan dunia maya bukan hanya terhad kepada hiburan sahaja. Ia menjadi medan ujian bagi percubaan pengalaman yang seakan-akan benar. Misalnya ujian memandu kenderaan boleh dijalankan di dalam sebuah bilik tanpa menggunakan jalanraya sebenar. Dari segi perancangan pula, model-model boleh dihasilkan untuk menguji kesan perancangan terhadap sesebuah bandar. Seseorang boleh mencuba pengalaman di dalam bandar tersebut sebelum pelan susun atur diluluskan. Ini akan menambahkan lagi penilaian pelan tersebut.

Rekreasi
Dengan wujudnya teknologi maklumat yang membolehkan pemindahan maklumat dengan cepat dan tepat, kebanyakan pekerjaan boleh dijalankan di rumah. Ini bermakna waktu kerja yang lebih bebas serta pendek. Ini adalah kerana seseorang tidak perlu meluangkan masa untuk pergi ke pejabat, tersesak atas jalanraya, makan di luar dan sebagainya. Kesannya masa rekreasi penduduk akan bertambah dan ini akan mempengaruhi penawaran jenis perkhidmatan pada masa depan.

Perdagangan dan Perindustrian
Perdagangan Elektronik
Perdagangan elektronik ditakrifkan sebagai penggunaan telekomunikasi atau rangkaian yang luas untuk melaksanakan pemindahan kewangan. Menjelang tahun 2001, gedung membeli-belah berangkai(online shopping) dijangka akan menarik antara $3.5 hingga $6 juta di Amerika Syarikat(Meyer, 1999). Di Malaysia, gedung-gedung seperti Parkson, Sapura, 3Comm dan Biz.st telah menawarkan khidmat beli-belah berangkai. Rasionalnya adalah kadar penggunaan internet yang tinggi akan menggalakkan penawaran sedemikian. Pada tahun 1994, terdapat lebih kurang 500,000 pengguna yang berdaftar dengan Jaring dan TmNet(Star, 31-7-1999).
Dengan berkembangnya perkhidmatan sedemikian pada masa depan, pengguna tidak perlu melangkah keluar dari rumah untuk membeli-belah. Di samping itu, mereka boleh membeli-belah 24 jam sehari tanpa gangguan kesesakan, cuaca dan jurujual yang membosankan. Selain itu, lokasi juga tidak menjadi masalah kerana perkhidmatan yang dibekalkan akan menjamin pembelian tersebut dijalankan dengan senang. Halangan yang wujud cumalah kos penghantaran yang mahal bagi lokasi yang jauh.
Selain daripada aktiviti membeli-belah, rangkaian teknologi maklumat juga membolehkan aktiviti perbankan dan pasaran dijalankan. Ini akan memberi pengaruh yang besar ke atas guna tanah kawasan perdagangan pusat. Dewasa ini, aktiviti tersebut sentiasa berkait dengan kesesakan di lokasi perletakan bank atau bursa saham. Namun dengan adanya rangkaian maklumat yang membolehkan aktiviti tersebut dijalankan dengan selamat maka penduduk bandar dengan sukarela akan memilih rangkaian tersebut berbanding dengan cara konvensional yang tidak berkesan serta membazirkan masa dan tenaga.
Di samping itu, surat elektronik yang semakin tinggi kadar penggunaannya akan memberi pengaruh terhadap perkhidmatan pos serta sistem pengangkutan yang bersabit dengannya. Ia juga mengurangkan penggunaan kertas dan sampul surat. Ini merupakan satu langkah baik ke arah kemampanan hutan di dunia.

_sAbArIaH_