BLOG INI MEMBINCANGKAN MENGENAI KEEFISYENAN SESEBUAH MAJLIS PERBANDARAN. MAJLIS PERBANDARAN YANG MENJADI FOKUS KAJIAN SAYA IALAH MAJLIS PERBANDARAN SEPANG (MPSEPANG). SEGALA MAKLUMAT DAN KOMEN MENGENAI TAJUK KAJAIN AMAT DIALU-ALUKAN....

Saturday, October 18, 2008

350,000 penduduk tak berair - Tiga paip utama pecah dipercayai hasil kegiatan korek pasir secara haram


SEPANG - Aktiviti mengorek pasir secara haram dipercayai menjadi punca tiga paip utama pecah sekali gus menyebabkan 350,000 penduduk tiga kampung di sekitar Sepang, Kuala Langat dan Hulu Langat menghadapi kesulitan ketiadaan bekalan air semalam.

Ketiga-tiga batang paip yang bersaiz 1,500 milimeter (mm), 1,200mm dan 1,050mm itu di Kampung Revolusi Hijau, Kampung Semerang itu membekalkan air bersih kepada penduduk berkenaan, dari loji Semenyih.

Biarpun punca kejadian itu masih dalam siasatan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), namun tanggapan awal mendapati aktiviti mengorek pasir secara haram di kawasan berdekatan dipercayai menjadi puncanya.

Ketua Pegawai Operasi Syabas, Datuk Ir. Lee Miang Koi berkata, pihaknya akan berusaha menyegerakan kerja-kerja membaik pulih dan selain membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi mengenai kejadian itu.

"Kami sedang kaji untuk ambil tindakan ke atas pihak berkenaan yang menyebabkan kejadian ini (paip pecah) selain berusaha perbaiki kerosakan dan mengesan pihak tidak bertanggungjawab itu," katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi semalam.

Sementara itu, Pengarah Operasi Syabas, Ir. V. Subramaniam berkata, kerja-kerja membaik pulih dijangka mengambil masa dua hingga tiga hari dan bergantung kepada cuaca.

"Kami akan baiki sebatang paip dulu untuk sambung bekalan air, dua paip lagi dibaiki kemudian," jelasnya.

Katanya, pihaknya akan mengalihkan laluan batang paip ke tempat lebih selamat sepanjang kira-kira 300 meter bagi setiap sebatang paip.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! di lokasi semalam mendapati, ketiga-tiga paip tersebut pecah ekoran tanah yang menyokongnya runtuh ke dalam lombong pasir.

Ketua Kampung Semarang, Abdul Ghaffar Man, 63, berkata, pihaknya mengambil tindakan sewajarnya untuk menghalang kerja mengorek pasir haram.

"Sejak kerajaan negeri bekukan pengeluaran lesen korek pasir dua bulan lalu, kami mengadakan kawalan dan kegiatan itu terhenti namun ia kembali beroperasi waktu malam hingga awal pagi.

"Saya dah laporkan masalah ini kepada Pegawai Daerah, namun tiada tindakan diambil setakat ini," ujarnya ketika ditemui.

No comments: